Hakim Rozana Ali Yusoff, menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Khalid Ismail, 62, yang adalah bekas pengarah syarikat Oasis Asset Management Sdn Bhd (OAM) selepas dia mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan itu. Rozana mengenakan hukuman penjara selama setahun bagi setiap tujuh pertuduhan itu, bagaimanapun, ia dijalankan secara serentak bermula hari ini, manakala bagi kesalahan pecah amanah, Muhamad Khalid dikenakan penjara selama dua tahun, namun hukuman itu bermula sejurus tamat hukuman penjara setahun. Dalam penghakimannya, Rozana berkata, Muhamad Khalid hanya dijatuhi hukuman penjara dan tidak dikenakan sebatan dan denda memandangkan tertuduh sudah lanjut usia untuk menerima hukuman itu serta tidak berkemampuan untuk membayar denda.
Muhamad Khalid yang berkerusi roda dan menghidap strok hanya menunduk tanda faham apabila Rozana menjatuhkan hukuman tersebut terhadapnya.
Bagi pertuduhan pecah amanah, Muhamad Khalid didakwa melakukan kesalahan itu di Malayan Banking Bhd, Jalan Maarof, Bangsar Baru di sini, pada 7 Februari 2002 dan 3 Disember tahun yang sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, dan boleh juga dikenakan denda.
Bagi pertuduhan pertama mengikut Akta Perindustrian Sekuriti, dia didakwa secara sedar membenarkan satu laporan palsu berkenaan dana yang diuruskan OAM iaitu Laporan Pertengahan Tahun berakhir 30 Jun 2002 yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Sekuriti.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 18 Julai 2002 dan 19 Julai 2002.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menipu Suruhanjaya Sekuriti, memberikan pernyataan palsu berkenaan dana yang diuruskan OAM di dalam laporan “Maklumat Mengenai Syarikat-Syarikat Pengurus Kumpulan Wang Berlesen - Senarai Semakan Mengenai Pengendalian Akaun Amanah dan Kedudukan Aset Klien”.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara 2 September 2002 dan 18 September 2002.
Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa menipu Suruhanjaya Sekuriti memberikan pernyataan palsu berkenaan aktiviti utama syarikat OAM dalam “Audited Accounts For the Year Ended 30 June 2002”.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 23 September 2002 dan 6 Oktober 2002.
Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa membenarkan laporan palsu berkenaan dana yang diuruskan OAM iaitu Laporan Pertengahan Tahun Berakhir 31 Disember 2002 dikemukakan kepada Suruhanjaya Sekuriti.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 14 Januari 2003.
Bagi pertuduhan kelima, Muhamad Khalid didakwa membenarkan satu laporan palsu berkenaan dana yang diuruskan syarikat OAM iaitu Laporan Pertengahan Tahun Berakhir 30 Jun 2003, dikemukakan kepada Suruhanjaya Sekuriti.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 4 Julai 2003 dan 22 Julai 2003.
Tertuduh didakwa melakukan kelima-lima kesalahan itu di Suruhanjaya Sekuriti, di Persiaran Bukit Kiara di sini mengikut Seksyen 122B Akta Perindustrian Sekuriti 1983, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda RM3 juta, atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan keenam, dia didakwa menyembunyikan rekod-rekod yang dikehendaki supaya disenggarakan oleh syarikat OAM berkenaan dengan pelaburan yang dibuat oleh Koperasi ATM berjumlah RM45 juta dengan niat untuk menghalang perjalanan satu pemeriksaan oleh Suruhanjaya Sekuriti.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara 8 Ogos 2003 dan 11 Ogos 2003 mengikut Seksyen 122D Akta Suruhanjaya Sekuriti 1983 yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau denda RM10 juta atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan ketujuh, Muhamad Khalid didakwa bersubahat dengan syarikat OAM untuk tidak menyenggarakan satu akaun amanah bagi wang pelanggan syarikat berkenaan iaitu Koperasi ATM berjumlah RM45 juta dengan niat menipu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 7 Februari 2002 dan 3 Disember 2002.
Kesalahan keenam dan ketujuh didakwa dilakukan di Suite 17.3-17.4A, Tingkat 17, Menara Weld, Jalan Raja Chulan di sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 47C(1) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 dibaca bersama Seksyen 122C akta yang sama, dan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM1 juta atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh diwakili peguam Kiu Jia Yaw manakala pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Sekuriti Kuala Lumpur, Roz Mawar Rozin yang dibantu oleh Nor Rifhan Rozi dan Ahmad Faiz Munawar. - Bernama