Sila gunakan internet explorer untuk tatapan terbaik

Sejarah kami

Pejabat Pendaftar Syarikat (Registry of Companies-ROC) dan Pejabat Pendaftar Perniagaan (Registry of Bisnesses-ROB) ditubuhkan di bawah Kementerian Perdagangan,kemudiannya diletakkan di bawah Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KHDNHEP) sejak 1986.

Memandangkan ROC dan ROB merupakan dua buah jabatan yg saling berkait, kakitangan kedua2 jabatan ini telah memulakan langkah awal untuk mengabungkan silaturrahim antara kakitangan di kedua2 jabatan berkenaan. Maka pada 20 Julai 1995 Lahirlah sebuah entiti dinamakan Koperasi Kakitangan Pejabat Pendaftar Syarikat dan Pejabat Pendaftar Perniagaan Berhad atau ringkasnya Koperasi k/tangan ROC & ROB Berhad. No. pendaftaran ialah KN0025

Pada 16 April 2002 ROC dan ROB telah digabungkan dalam satu perbadanan dinamakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Jelaslah Koperasi didaftarkan sebelum SSM terbentuk. Ramai yang menyangka Koperasi ROC & ROB Berhad ini adalah koperasi SSM sehingga ada k/tangan SSM yang berkecil hati kerana tidak diterima masuk sebagai ahli.

Sebenarnya inilah realiti sikap manusia, semasa awal penubuhan amat sukar mendapatkan anggota, tetapi bila sudah berdaya saing ramai pula yg ingin berdamping. Bagi mengelakkan kekeliruan pihak lembaga pengarah memutuskan untuk menukar nama koperasi kepada Koperasi ROCAB Berhad (Registry Of Companies And Bisnesses- ROCAB) .

Buat masa ini penukaran nama sedang dalam proses kelulusan. Diharap dengan penukaran nama ini, pihak SSM boleh menubuhkan Koperasi kakitangannya sendiri tanpa rasa tergugat dengan keujudan koperasi kami

Thursday, July 15, 2010

logo koperasi


Mesyuarat lembaga pengarah pada 1 julai 2010 menetapkkan logo Koperasi sama seperti sebelumnya cuma ditambah perkataan R.O.C.A.B.

ROCAB adalah singkatan dari perkataan Registry Of Companies And Businesses

Thursday, May 20, 2010

Bekas pengarah dipenjara tiga tahun kerana pecah amanah

Sumber: Berita Harian online
KUALA LUMPUR: Bekas pengarah syarikat dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana penyelewengan dana pelaburan Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad (ATM) berjumlah RM45 juta serta tujuh pertuduhan mengikut Akta Perindustrian Sekuriti 1983.

Hakim Rozana Ali Yusoff, menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Khalid Ismail, 62, yang adalah bekas pengarah syarikat Oasis Asset Management Sdn Bhd (OAM) selepas dia mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan itu. Rozana mengenakan hukuman penjara selama setahun bagi setiap tujuh pertuduhan itu, bagaimanapun, ia dijalankan secara serentak bermula hari ini, manakala bagi kesalahan pecah amanah, Muhamad Khalid dikenakan penjara selama dua tahun, namun hukuman itu bermula sejurus tamat hukuman penjara setahun. Dalam penghakimannya, Rozana berkata, Muhamad Khalid hanya dijatuhi hukuman penjara dan tidak dikenakan sebatan dan denda memandangkan tertuduh sudah lanjut usia untuk menerima hukuman itu serta tidak berkemampuan untuk membayar denda.

Muhamad Khalid yang berkerusi roda dan menghidap strok hanya menunduk tanda faham apabila Rozana menjatuhkan hukuman tersebut terhadapnya.

Bagi pertuduhan pecah amanah, Muhamad Khalid didakwa melakukan kesalahan itu di Malayan Banking Bhd, Jalan Maarof, Bangsar Baru di sini, pada 7 Februari 2002 dan 3 Disember tahun yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, dan boleh juga dikenakan denda.
Bagi pertuduhan pertama mengikut Akta Perindustrian Sekuriti, dia didakwa secara sedar membenarkan satu laporan palsu berkenaan dana yang diuruskan OAM iaitu Laporan Pertengahan Tahun berakhir 30 Jun 2002 yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Sekuriti.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 18 Julai 2002 dan 19 Julai 2002.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menipu Suruhanjaya Sekuriti, memberikan pernyataan palsu berkenaan dana yang diuruskan OAM di dalam laporan “Maklumat Mengenai Syarikat-Syarikat Pengurus Kumpulan Wang Berlesen - Senarai Semakan Mengenai Pengendalian Akaun Amanah dan Kedudukan Aset Klien”.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara 2 September 2002 dan 18 September 2002.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa menipu Suruhanjaya Sekuriti memberikan pernyataan palsu berkenaan aktiviti utama syarikat OAM dalam “Audited Accounts For the Year Ended 30 June 2002”.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 23 September 2002 dan 6 Oktober 2002.

Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa membenarkan laporan palsu berkenaan dana yang diuruskan OAM iaitu Laporan Pertengahan Tahun Berakhir 31 Disember 2002 dikemukakan kepada Suruhanjaya Sekuriti.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 14 Januari 2003.

Bagi pertuduhan kelima, Muhamad Khalid didakwa membenarkan satu laporan palsu berkenaan dana yang diuruskan syarikat OAM iaitu Laporan Pertengahan Tahun Berakhir 30 Jun 2003, dikemukakan kepada Suruhanjaya Sekuriti.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 4 Julai 2003 dan 22 Julai 2003.

Tertuduh didakwa melakukan kelima-lima kesalahan itu di Suruhanjaya Sekuriti, di Persiaran Bukit Kiara di sini mengikut Seksyen 122B Akta Perindustrian Sekuriti 1983, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda RM3 juta, atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan keenam, dia didakwa menyembunyikan rekod-rekod yang dikehendaki supaya disenggarakan oleh syarikat OAM berkenaan dengan pelaburan yang dibuat oleh Koperasi ATM berjumlah RM45 juta dengan niat untuk menghalang perjalanan satu pemeriksaan oleh Suruhanjaya Sekuriti.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara 8 Ogos 2003 dan 11 Ogos 2003 mengikut Seksyen 122D Akta Suruhanjaya Sekuriti 1983 yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau denda RM10 juta atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan ketujuh, Muhamad Khalid didakwa bersubahat dengan syarikat OAM untuk tidak menyenggarakan satu akaun amanah bagi wang pelanggan syarikat berkenaan iaitu Koperasi ATM berjumlah RM45 juta dengan niat menipu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 7 Februari 2002 dan 3 Disember 2002.

Kesalahan keenam dan ketujuh didakwa dilakukan di Suite 17.3-17.4A, Tingkat 17, Menara Weld, Jalan Raja Chulan di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 47C(1) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 dibaca bersama Seksyen 122C akta yang sama, dan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM1 juta atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh diwakili peguam Kiu Jia Yaw manakala pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Sekuriti Kuala Lumpur, Roz Mawar Rozin yang dibantu oleh Nor Rifhan Rozi dan Ahmad Faiz Munawar. - Bernama

Wednesday, May 5, 2010

Cadangan lawatan ke Guangzhou


Pihak koperasi Roc & Rob Berhad bercadang akan membuat satu lawatan ke Guangzhou China. Lawatan sambil belajar ini bertujuan memberi kefahaman kepada peserta yang ingin mengikuti lawatan tersebut tentang sejarah islam di China disamping memahami adat resam budaya China. Bayaran pakej lawatan ini hanyalah Rm1299 dan Visa Rm50 yang akan diuruskan oleh koperasi. Harga yang ditawarkan termasuk makan minum, penginapan, transport di sana serta tambang kapalterbang Airasia. Lawatan ini dibuka kepada semua org diutamakan kakitangan SSM yang berminat untuk turut sama dalam lawatan ini.

Tarikh lawatan ialah pada 13 hingga 16 December 2010 selama 4hari 3 malam. Kepada mereka yang berminat dalam lawatan ini bayaran 50% dikenakan yang akan dikutip sebelum 15 Jun 2010 dan baki selebihnya akan dikutip sebelum 2 bulan tarikh lawatan tersebut. Pakej lawatan diutamakan kepada mereka yang terdahulu membuat bayaran 50% akan dimasukan sebagai peserta yang akan mengikuti lawatan ini.

Begitulah sedutan daripada email presiden Koperasi pada 5 Mei 2010 lalu. Rancangan ini telah dikemukanan dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah pada 27 Marh 2010 sebagai usaha mendapatkan pendapatn bagi Koperasi kita. Koperasi akan diberi sedikit imbuhan kerana menyediakan peserta. Pada mulanya saya fikir anggota koperasi akan mendapat diskaun yg dibiayai oleh koperasi, rupanya terbuka kepada semua orang tanpa ada perbezaan. Kemungkinan ahli koperasi akan diberi keutamaan, agaknya.

Nampaknya hingga kini sambutan begitu menggalakkan. Sebelum borang diedar pun ,lebih dari 50 permohonan telah diterima.Kemungkinan dua trip akan dibuat bagi memenuhi permintaan. Nampaknya k/tangan SSM minat dengan program lawatan. Maklumlah bonus 2-3 bulan setahun tu nak buat apa pun.... Emmm cuma pesan saya kepada yg belum mengerjakan Haji, ingat2lah yer. Bukan apa bimbang nanti ditanya tentang perkara wajib tu,takut tak sempat tunaikan duit pun dah hangus melancong. Saya sekadar mengingatkan. Selamat beristirehat dan bercuti kepada yg sudah pasang niat ke Guangzhou.

Friday, April 2, 2010

Dah berhenti tak boleh masuk semula

Kecoh juga perwakilan berhujjah masa Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan pada 27 march 2010. Hujjah dah jadi macam debat pula. Isunya ialah untuk meminda satu perkara dalam Undang-undang kecil Koperasi tentang Syarat masuk semula bagi ahli yg telah berhenti.

Undang2 sedia ada menyebut, anggota yang telah berhenti dikenakan fee RM50 jika masuk semula sebagai ahli. Ini adalah undang-undang yg piawai bagi kebanyakan koperasi dan amaun fee boleh dipinda. Saya mencadangkan fee ini naikkan kepada amaun lain. En. Wan Abdul Rahim anggota no.065 pula bingkas mengeluarkan hujjah berapinya mengemukakan cadangan agar anggota yang telah memohon berhenti tidak boleh masuk semula sebagai ahli. Ini seolah-olah cerai talak tiga.

Memandangkan kecoh dewan conference3 panas dengan isu ini, pengerusi mesyuarat tn Hj Malek Ludin memutuskan undi dibuat untuk menentukan Dasar Koperasi. Undian memihak kepada cadangan en. Wan. Saya tidak bersetuju sebenarnya kerana anggota yang mohon berhenti ada alasan mereka, mungkin kerana kesihatan dan mungkin kerana berada jauh (pindah) lalu tak dapat memberi komitment.Tetapi tanpa mereka tak terbentuk koperasi ini.Mungkin di masa lain mereka lebih bersedia untuk jadi anggota jadi mereka mohon untuk masuk semula. Apa salahnya mereka diterima dengan fee tertentu seperti koperasi lain? Apakan daya keputusan sudah dibuat.

Kini bilangan anggota kita sudah susut kepada 66 orang. Pihak Koperasi buat usul baru membuka keahlian kepada waris anggota sedia ada. Rasa macam tak adil pula, waris tu tak pernah berjasa apa pun kpd koperasi tapi diterima sebagai ahli sedangkan anggota yg telah berhenti disingkir begitu sahaja. Masa koperasi baru bertatih kita perlukan anggota, tanpa anggota 'tubuh' tak sempurna. Bagaimana pulak anggota yg tak ada waris..?? Semua ni kena pikir la weh...

Sunday, March 28, 2010

Lembaga Pengarah sesi (2010-2012)


Mesyuarat Agung Tahunan Perwakilan (MATP) telah diadakan pada 27 March 2010 bertempat di Dewan Conference 3, Masjid al-Ghufran,Pinggiran Taman Tun Dr Ismail pada jam 9.30 pg-1.30 tghr. Seramai 20 daripada 22 perwakilan yg telah dipilih pada Mesyuarat Agung Kawasan pada 2 Januari 2010 telah hadir. Perwakilan telah melantik 9 ahli lembaga pengarah menggunakan kaedah undi bertulis.

Perwakilan yg tidak Hadir ialah:-
1- Mahasim mhd Noor
2- Mohd Noor Darus

Pada sebelah petangnya, Mesyuarat pertama lembaga Pengarah telah diadakan ditempat yang sama dan lembaga pengarah sebulat suara menetapkan perlantikan jawatan seperti berikut:-

Yang di Pertua:
Tuan Hj Abdul Malek bin Ludin(20 undi)

Setiausaha:
En. Kamarul Baharin bin Abdullah(18 undi)

Bendahari:
En. Azmil bin Harun (19 undi)

Pengurus:
Latifah binti Abdul Wahab (20 undi)

Ahli Lembaga Pengarah lain:
1-Pn Azizah binti Rohani (16 undi)
2-Wan Abdul Rahim bin Wan Daud (15 undi)
3-Ahmad Tarmizi bin Hussein (13 undi)
4-Pn Noraini binti Dahalan (9 undi)
5-Pn Normah binti Abdul Rahman (9 undi)

Juruodit dalam:
Belum dimasyhorkan lagi...

Selamat bertugas kepada semua pengarah.
Berbakti untuk koperasi. Majukan koperasi kita.

Thursday, July 2, 2009

Risiko menyewakan kondo

Laporan /pemerhatian awal telah saya postkan ke egroups dan boleh di baca di sini.

Pengalaman pihak koperasi menyewakan kondominum baru-baru ini harus menjadi pengajaran bukan dijadikan alasan untuk tidak menyewakan rumah/apartmet. Kondo Koperasi telah disewakan kepada warga pakistan pada awal March hingga 15 Jun 2009 selama 3 bulan.Semasa masuk kondo pada hari Rabu (16/6/2009) jam 9 malam, semua aircond didapati terbuka. Saya terkejut kerana pintu dapur (antara ruang tengah dan dapur retak teruk seperti gambar di bawah.Kira-kira kawasan seluas 1 kaki persegi terlibat. Bahagian depan dan belakang pintu terlibat.



Terlihat pula Switch alarm keselamatan menghala ke pintu luar telah dicabut, yang tinggal hanya hand set. Seingat saya switch ini dalam keadaan baik pada kali terakhir saya tinggal di sini bulan Februari 2009.Saya dah tanya pihak pentadbiran,sama ada mereka ada buat apa ubahsuai. Mereka kata tak mungkin boleh masuk rumah tanpa pengetahuan owner (kamarul). Kontrak alarm system belum dapat diselenggarakan lagi jadi swith tersebut memang tidak diganggu. Tapi panggilan dari dari dan kepada pengawal masih boleh dibuat menggunakan handset. Menurut pihak admin, swith tersebut tak ada 'value'.


Pintu bilik air belakang terkopek sikit dan telah diganti tombolnya dengan yg baru.Penyewa yg ganti.Ada kesan terkopek pada bahagian tombol seolah2 ada percubaan menggunakan pisau untuk mengumpil pintu. Huh, ganas juga depa.. bergaduh agaknya sampai kunci pintu bilik air ni. Entahlah kita tak nampak apa yg berlaku, mulalah duk sangka macam2, astaghfirullah hal azim.



Semua pemegang towel dalam bilik air tercabut. Ini tak hairan sebab kualiti pemegang towel ni pun tak berapa baik. Malah penyangkut towel dah berkarat baru setahun jagung kondo ni.
Tombol (kepala paip) bilik air belakang pun tercabut. Getah sliding door lekang habih, rebeh. Mujur hearter masih okay. Bilik air master bed room nampaknya tak ada 'kemalangan'.

Sofa berlubang kena api rokok mungkin (satu tempat shj) dan sofa ni memang cepat kotor..jadi tak hairan kotor. Lekat bau rokok kat sofa ni. Saya dah taruk febreez pun tak hilang baunya,dan saya terpaksa letak kain batik alas duduk . Tak lalu nak duduk bekas depa berkubang sakan. Saya cadangkan kalau ada duit, eloklah sofa ni disalut denagn PVC tetapi kosnya mencecah Rm2000.Jadi kita buat mesyuaratlah nanti.



Haa sekarang kita lihat dalam peti sejuk pula. Tu dia..., peti sejuk pun jenuh juga nak sental , bahgian freezer kotor bekas darah ikan/daging Bila dah sental barulah nampak lantainya terkopek akibat disodok dengan benda tajam.Bahagian lain memang kena cuci..luar dalam kena cuci. Kalau tak, berkerak.Emm jadi mek endon lah saya.. ni berapa Koperasi nak bagi upah?.. tolong taksir sikit bendahari . he he...dengan kos mop lantai, cuci cadar macam2.

Dapur (stove) kotor dah tak larat nak cakap lah. Minyak bersalut. Maklum tak cuci 3 bulan.Bahgian top hood pun kena cuci patut service tapi rasanya bolehlah pakai lagi dah saya usahakan cuci cooker hood ni.Saya pun tak kuasa nak sental beriya , nanti masuk spital lak... mana yg terdaya sahaja.




Ruang antara master bedroom dgn hall, kotor dituang entak apa, macam sirih india. Kat sini pun depa nak buang sampah. Entahlah.


Pintu almari hias depan, rosak (tercabut skru) ttp masih boleh ditutup. Saya juga jadi minah givernya . Gambar ni terbalik, so u all kena sengetkan kepala tengok :)

Mop hampir tak boleh diguna kerana berwarna hitam dan susah dilunturkan warnanya.Kebanyakkan bahan cuci telah habis di guna. Nak cuci toilet pun tak cukup bahan cuci. Saya terpaksa beli lagi dan 'of couse' akan dituntut dari koperasi..tak nak tuntut di akhirat pulak.He he...pokai ler saya.

Gambar sebelah ni, proses mencuci cadar sarung bantal dll. mujur ada kemudahan mencuci...Mesin cuci masih baik keadaannya.



Beberapa kehilangan berikut telah dikenalpasti:-
*sudip
*senduk
*bantal sebiji
*Lapik kaki
Aik bantal pun kena kebas, terpaksalah saya beli di Giant. Mujur ada yg murah (tengah offer RM9.90 sebiji) . Barang2 cucian dan gantian ni nanti akan sampailah bil kpd bendahari.. ehem minta cepat sikit keluar cek yer...

Thermos pot tercabut kepala tapi sudah saya dibaiki.
aircond di hall sudah meleleh airnya,kena service ni.
Vertical blind pun tercabut2 tapi dah saya baiki.

Penyewa ada membuat access card dan membayar Rm30 atas nama Mohd Munir Lelahani pada 17 march dan saya 'bar' (batalkan) pada 18/6/09 bagi mengelakkan salah guna.no card yg dibatalkan ilaah D1446. Dan saya telah beli satu lagi accesscard baru bagi kemudahan pengunaan kondo di masa akan datang.No access card yg baru D 1505. Jadi kondo ini ada 2 access card sekarang.Maksima kita boleh beli 4 access card untuk satu kondo.

Cadangan:
Jika rumah/apartment/kondo disewakan melebihi 3 bulan tuan rumah hendaklah melawat rumah melihat keadaan rumah setiap 3 bulan dan perkara ini hendaklah dimasukkan dalam perjanjian. Ini bagi mengelakkan kerosakkan yg teruk terutama kerosakaan yang melibatkan kos pembaikan yg banyak.

Mudah2an pengalaman ini akan kita jadikan iktibar di masa akan datang.Nampaknya perjanjian sewa kena dikemaskini dengan memasukkan butir2 barang secara terperinci.Mungkin kita masukkan kos sewaan barang2 yang berharga seperti barangan eletrik.Cadar dah tentulah kotor 3 bulan tak cuci. Sarung bantal pun dan teruk berdaki, mujur ada 4 sarung spare.

Hal lain:
Bil TNB tak dapat dipastikan berapa tertunggak sebab tak ada bil dalam mailbox. Bil utiliti tertunggak lebih kurang RM68.00 sahaja kerana saya dah jelaskan sebelum ini sehingga bulan Jun (dah tuntut dari Koperasi). Sekian untuk makluman ahli2 koperasi dan untuk tindakan susulan kemudian nanti.

p/s: habis seharian menulis blog...

Thursday, May 7, 2009

Alat komunikasi kita


Sudah lama benar tidak mengemaskini blog koperasi kita ni. Blog ini saya ujudkan pada bulan Mei 2008 semasa saya menghadiri kursus penggunaan IT bagi koperasi di Maktab Kerjasama Malaysia . Sebelum ini saya ada mengikuti kursus buat blog di Sabah pada tahun 2004 tetapi masa tu belum ada lagi blog percuma jadi masa itu kalau nak upload kena sewa website. Memandangkan koperasi kita bukanlah mewah dan mempunyai pendapatan , maka usaha mengujudkan laman web koperasi terbantut. Mungkin ada hikmahnya.

Terlalu banyak ranjau untuk mengujudkan satu koperasi yang berdaya saing dan mengikut arus peredaran masa yang semakin mesra IT. Kita tidak mampu lagi menjadi koperasi yang terasing dari dunia IT dengan hanya menumpu kepada bidang perniagaan berasaskan seminar korporat semata. Kita perlu berubah, dan inilah masa untuk kita berubah. Alhamdulillah sudah ada kesedaran di kalangan Ahli Lembaga Pengarah bahawa koperasi sememangnya memerlukan penggerak yang dibayar usahanya,diberi ganjaran atau upah. Tiada orang yang akan membuat kerja sukarela tanpa akhirnya bersungut dan bosan.


Celcom bradband:

Hasil persetujuan Ahli Lembaga Pengarah (ALP) salah seorang daripada ALP iaitu cik Latifah telah dilantik menjadi pengurus koperasi mulai 1 mei 2009. Hasil mesyuarat ALP juga beberapa persetujuan telah dimetarai antaranya pengurus mahu supaya beliau dibekalkan dengan alat komunikasi dan kemudahan untuk menjalankan kerja2 koperasi. Memandangkan koperasi tidak mempunyai pejabat dan peralatan yang sepatutnya maka tolak ansur masih lagi menjadi teras kerjasama yang digunakan oleh ALP dengan pengurus yang dilantik.

Antara alat komunikasi yang disetujui ialah Celcom Broadband iaitu talian mudah alih bagi membolehkan akses internet dicapai di mana sahaja kawasan yang boleh diliputi oleh Celcom tanpa wayar. Ini adalah kemudahan yang penting kerana sifat kerjaya pengurus yang 'mudah alih' dan bergerak ke sana ke mari. Bagi tujuan ini ALP setuju dengan pembelian modem mudah alih berharga Rm399 dan sewaan perkhidmatan tanpa ikatan sebanyak Rm68.00 sebulan. Ini bermakna perkhidmatan ini boleh ditamatkan pada bila2 masa tanpa ikatan tempoh masa tertentu seperti perkhidmatan Streamyx. Perkhidmatan ini telah dipohon pada 5 mei 2009 dan mula digunakan pada 7 Mei 2009.

Talipon bimbit Samsung

Selain dari itu, sebuah talipon bimbit juga diperlukan untuk memudahkan komunikasi antara ahli koperasi dan dengan orang luar. Tanpa talipon bimbit kepunyaan koperasi, agak sukar untuk kita mengadakan perbicangan bagi mencari sumber perniagaan untuk menggerakkan koperasi. Talipon bimbit ini adalah hak koperasi bukan hak pengurus. Maknanya sesiapa sahaja yang dilantik menjadi pengurus akan menggunakan talipon bimbit ini. Nombor talipon ini juga akan digunakan sebagai nombor talipon rasmi koperasi.

Talipon jenis samsung dipilih kerana kebolehpercayaan dan kualiti jenamanya dan ini adalah antara yang termurah dengan kemudahan optima.Ia juga mempunyai kebolehan melayari internet dan radio .Harganya cuma RM144.20 dan ia menggunakan SIMcard Celcom Blue.Sebanyak 20 nombor boleh didaftar dalam plan teman20 dan ini bermakna setiap panggilan kepada 20 nombor yg telah didaftarkan akan mendapat kadar yg murah. 15sen bagi setiap minit panggilan dan 1 sen untuk SMS. Nombor ini didaftar atas nama Latifah. Nombor yang didaftarkan ialah 019-9763346. Ahli koperasi dan ALP khasnya digalakkan mengguna nombor ini untuk menghubungi pengurus. Anda hanya perlu hantar SMS atau membuat panggilan tunda(miss call) dan pengurus akan menghubungi anda kembali.

Satu rekod penggunaan alat komunikasi akan diujudkan untuk tujuan tuntutan dan mengawasi penggunaannya. Rekod ini perlu dikemaskini oleh pengurus sebagai syarat untuk membuat tuntutan bayaran prepaid.Rekod ini juga penting untuk kita menilai dan membuat analisa keperluan kewangan tahunan koperasi iaitu termasuk dalam kos operasi Koperasi. Sekian dahulu untuk kali ini.

Tuesday, April 22, 2008

Ahli Lembaga Pengarah (2008-2010)

Berikut adalah nama-nama ahli lembaga pengarah yang telah dilantik melalui Mesyuarat Agung Tahunan ke-6 pada 20 April 2008 . Lantikan ini berkuatkuasa selama dua tahun.

Yang Di Pertua: Tn Hj Abdul Malek Bin Ludin
Setiausaha : Kamarul Bahrin bin Abdullah
Bendahari : Azmil bin Haron
Ahli Lembaga Pengarah:

1-Latifah binti Abdul Wahab (pengurus)
2-Azizah binti Rohani
3-Wan Abdul Rahim bin Wan Daud
4-Mahasim Mohd Noor
5-Normah binti Abdul Rahman
6-Noraini binti Dahalan

Juruodit dalam:
1- Mohd Noor bin Darus
2-Zainudin Salleh

Monday, April 21, 2008

Apa itu Koperasi?

Koperasi ialah sebuah pertubuhan sosio-ekonomi yang didaftarkan di bawah Akta 502 (Akta Koperasi 1993) Malaysia. Pertubuhan ini dianggotai, dimodali dan ditadbir oleh sekumpulan manusia berasaskan semangat dan usaha kerjasama untuk memajukan kepentingan ekonomi dan sosial anggota-anggotanya. Dalam ertikata lain, koperasi merupakan persatuan yang menjalankan aktiviti perniagaan yang bertujuan membantu dan meringankan beban anggota-anggotanya. Selain mendapat pulangan dalam bentuk dividen, anggota-anggotanya juga menikmati harga yang lebih murah dari pasaran dan kemudahan-kemudahan khas seperti pinjaman dan sebagainya, bergantung kepada koperasi yang dianggotainya.

Sesebuah koperasi ditadbirselia oleh sepasukan Anggota Lembaga yang dilantik secara demokrasi pada Mesyuarat Agung yang biasanya diadakan selepas tiap-tiap akhir tahun kewangan sesebuah koperasi itu. Seorang Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari akan dilantik untuk mentadbir koperasi itu. Lantikan dibuat bedasarkan pada calon yang mendapat undi terbanyak. Setiap anggota berhak mencalonkan seseorang daripada kalangan anggota untuk jawatan Anggota Lembaga.


Perbezaan Koperasi dengan Syarikat Berhad


*
Sesebuah koperasi ditubuhkan untuk memenuhi keperluan anggota-anggotanya manakala tujuan penubuhan sesebuah syarikat adalah untuk mencari keuntungan semata-mata.

*
Hak milik sesebuah koperasi adalah kepada anggota-anggotanya manakala sesebuah syarikat dipunyai pemegang saham syarikat tersebut.

*
Kawalan sesebuah koperasi dijalankan bedasarkan sistem demokrasi, berasaskan kepada satu anggota, satu undi.

* Kawalan sesebuah syarikat berhad pula dijalankan bedasarkan jumlah saham yang dipunyainya.


*
Keuntungan sesebuah koperasi dikongsi dikalangan anggota-anggotanya manakala bagi sesebuah syarikat pula, keuntungan dibahagikan antara pemegang-pemegang saham.

*
Nilai saham seseorang anggota koperasi adalah tetap dan boleh dikeluarkan semula. Saham sesebuah syarikat tidak boleh dikeluarkan semula dan nilainya tidak menentu.

*
Pertubuhan koperasi tertakluk kepada Akta Koperasi manakala syarikat tertakluk kepada Akta Syarikat.

Kenapa tubuh Sdn Bhd?



Adakah anda diketepikan kerana saiz perniagaan anda yang kecil? Adakah anda tidak layak untuk mendapatkan kebanyakan kontrak-kontrak kerana syarikat anda tidak diperbadankan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM/ dahulunya dikenali sebagai ROC)? Sekiranya anda mangalami keadaan-keadaan berikut anda mungkin patut mempertimbangkan untuk memperbadankan syarikat anda di bawah status Sendirian Berhad.

Walaupun anda baru sahaja ingin memulakan perniagaan, anda seharusnya menilai produk-produk dan para pelanggan anda dengan berhati-hati sekiiranya anda berpendapat adalah lebih baik anda memulakan perniagaan sebagai Sendirian Berhad daripada perniagaan jenis empunya tunggal atau perkongsian.

Tidak dapat dinafikan bahawa adalah lebih mudah menguruskan perniagaan jenis empunya tunggal atau perkongsian dari segi pentadbiran dan bayaran cukai dan kos yang lebih rendah, tetapi perniagaan jenis ini akan menjejaskan perkembangan perniagaan anda sekiranya anda bercadang untuk mengembangkan dan mendapatkan para pelanggan yang lebih besar di masa hadapan.

Faedah-faedah utama sebuah syaikat yang berstatus Sendirian Berhad

Perlindungan Liabiliti- Sebuah syarikat Sendirian Berhad adalah entiti sah yang berasingan daripada ahli-ahli individu syarikat itu. Ia bermaksud aset-aset persendirian ( sedia ada dan tidk dihasilkan) dilindungi daripada kerugian perniagaan sekiranya syarikat anda tidak dapat membayar balik hutang-hutang dan /atau disaman untuk sejumlah wang yang diluar keupayaan syarikat untuk membuat pembayaran balik. Di dalam Syarikat Sendirian Berhad, tanggunjawab anda hanyalah setakat jumlah saham yang anda miliki di dalam syarikat tersebut atau sekiranya anda atau rakan kongsi penjadi penjamin dan berlakunya pembubaran atau likuidasi, liabiliti anda hanyalah setakat jumlah sumbangan yang telah anda setuju untuk laburkan ke dalam aset-aset syarikat

Kewujudan Berterusan dan Pengenalan yang Lebih baik- penubuhan, penyelenggaran dan pembubaran syariakt Sendirian Berhad memakan masa yang lama dan perbelanjaan yang banyak terutamanya dari segi yuran guaman dan kesetiausahaan. Namun demikian, Syarikat Sendirian Berhad mempunyai jangka hayat yang lebih lama dan lebih berterusan daripada empunya tunggal. Lebih-lebih lagi syarikat Sendirian Berhad tidak akan terbubar dengan kematian seorang pemegang saman. Hakmilik terhadap saham tersebut akan dipindah milik kepada waris si mati.

Institusi-institusi kewangan, agensi-agensi kerajaan dan entiti-entiti perniagaan yang besar lebih gemar berurusan dengan syarikat-syarikat Sendirian Berhad terutamanya di dalam projek-projek besar kerana ketetapan struktur kewujudanya dapat menawarkan kestabilan, kesinambungan dan perlindungan yang lebih.


Perlindungan terhadap Nama Syarikat - Sekiranya sesebuah syarikat Sendirian Berhad telah mendaftarkan nama di Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan nama tersebut telah diluluskan oleh Suruhanjaya Syarikat malaysia (SSM), nama tersebut tidak boleh digunakan oleh syarikat-syarikat lain bagi tempoh kewujudan syarikat anda dan selama beberapa tempoh selepas pembubaran syarikat anda.

Pilihan-pilihan kewangan yang lebih- selain daripada mengambil bantuan kewangan, wang boleh diperolehi melalui penjualan stok kepada penjual-oenjual persendirian. Di peringkat-peringkat akhir, saham ini boleh ditawarkan kepada umum sekiranya syarikat tersebut menukar status kepada syarikat berhad atau syarikat awam berhad.

Syarikat-syarikat Sendirian Berhad selalunya mempunyai keupayaan untuk mendapatkan rangkaian perdagangan dengan lebih mudah daripada empunya tunggal.

Ketelusan dan Pengemaskinian Pentadbiran- akaun-akaun syarikat haruslah mematuhi piawaian –piawaian tegas yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Akaun –akaun audit tahunan mengenai keuntungan dan kerugian berserta kunci kira-kira syarikat haruslah diberikan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia untuk dilekapkan kepada satu pangkalan data yang boleh dilayari oleh orang awam.

Dari segi undang-undang semua syarikat-syarikat sendirian Berhad haruslah menggaji perkhidmatan seorang Setiausaha Syarikat untuk membantu dalam pendaftaran syarikat., memfailkan minit-minit mesyuarat dan resolusi-resolusi syarikat, dan akaun tahunan syarikat. Setiausaha-setiausaha syarikat ini mematuhi piawai-piawai yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia, sekaligus ini membantu mengemaskinikan pentadbiran syarikat-syarikat Sendirian Berhad di Malaysia.

Status Perintis dan Koridor Raya Multimedia (KRM)- ataupun syarikat-syarikat Sendirian Berhad dikenakan cukai korporat sebanyak 28% di Malaysia, syarikat-syarikat ini boleh memohon untuk mendapatkan status perintis atau status KRM. Status perintis manawarkan 100% pengecualian daripada cukai pendapatan statutori. Insentif ini diberikan pada peringkat pertama untuk tempoh lima tahun.

Syarikat-syarikat dibawah KRM juga boleh memohon untuk mendapatkan status perintis. Syarikat-syarikat ini layak mendapat Cukai Elaun Pelaburan sebanyak 100% (ITA), geran-geran R&D (untuk majoriti syarikat-syarikat milik Malaysia yang berstatus KRM) dan mempunayai kebebasan untuk mencari modal dan mendapatkan pendanaan secara global. Faedah-faedah unik yang lain adalah seperti pengimportan kelengkapan multimedia secara bebas cukai (MDC), dan mendapat laluan ke agensi- agensi setempat, Perbadanan Perkembangan Multimedia (MDC), untuk tujuan perlesenan dan peraturan-peraturan lain. Faedah-faedah ini berubah dari semasa ke semasa, oleh itu adalah lebih baik untuk menyemak faedah-faedah terkini secara langsung di www.msc.com.my dan juga www.mida.gov.my.


Hakmilik dan Keperluan-keperluan modal sebuah Syarikat Berhad.Sesebuah syarikat Sendirian Berhad seharusnya mempunyai pemegang saham yang paling minimum sejumah dua orang dan yang paling maksimumnya 50 orang. Seorang direktor syarikat haruslah orang sebenar yang mempunyai principal atau tempat tinggal di dalam Malaysia.

Dari segi modal, bagi memulakan sebuah syarikat Sendirian Berhad anda hanya memerlukan modal berbayar yang minimum iaitu sebanyak RM2. Modal ini boleh dinaikan atau ditambah pada bila-bila masa atau sekiranya diperlukan.

Mengambil Langkah Pertama

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai peraturan-peraturan yang menguasai syarikat-syarikat Sendirian Berhad anda boleh layari laman webnya iaitu: www.ssm.gov.my atau mendapatkan bantuan perunding seperti sebuah Syarikat Kesetiausahaan yang berpiagam. Terdapat banyak syarikat-syarikat begini yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.


Sekiranya anda tidak pasti syarikat kesetiausahan mana yang anda patut pilih, anda bolehlah merujuk kepada rakan-rakan yang mempunyai syarikat. Anda juga bole membuat pilihan secara rawak berdasarkan senarai yang disediakan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Apabila anda telah mendapat senarai terpilih, anda bolehlah membuat panggilan untuk mendapatkan informasi lebih. Melalui respon yang diberikan anda akan dapat mengetahui syarikat mana yang suka membantu, profesional, boleh memberikan maklumat, dan bersesuaian dengan citarasa anda. Aturkan temujanji dengan 2-3 setiausaha-setiausaha ini. Pilih dan lantiklah Setiausaha Syarikat yang dapat memenuhi kehendak anda.

Julat yuran tahunan Setiausaha Syarikat adalah diantara RM1500 kepada RM5000. Jumlah ini kadang-kadang termasuk yuran tahunan yang telah diaudit kerana kebanyakan daripada Setiausaha-setiausaha syarikat ini juga bertambat dengan Akauntan-akauntan dan menawarkan perkhidmatan mereka secara pakej. Di Malaysia, adalah wajib untuk menggunakan khidmat Setiausaha Syarikat yang telah didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Anda haruslah membuat permohonan pertama di Suruhanjaya Syarikat Malaysia melalui Setiausaha Syarikat untuk memastikan sama ada nama yang telah anda rancangkan untuk syarikat anda masih lapang. Jika nama tersebut masih belum digunakan oleh syarikat-syarikat lain, penempahan selama 3 bulan haruslah dilakukan keatas nama tersebut dari tempoh kelulusan. Di dalam tempoh 3 bulan tersebut anda haruslah menyerahkan Memorandum dan Tataurusan Persatuan, Borang 6 dan Borang 48A berserta dengan yuran pendaftaran kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Borang 48A Akuan Berkanun diperlukan untuk setiap Direktor dan pemohon-pemohon saham. Sesebuah syarikat haruslah mempunyai sekurang-kurangnya 2 direktor didalam Tataurusan Persatuan syarikat dan dua orang pemohon-pemohon saham di dalam Memorandum dan Tataurusan Persatuan syarikat yang telah dicadangkan . Borang 6 di dalam Tataurusan Persatuan syarikat yang telah dicadangkan harus mempunyai nama seorang setiausaha syarikat.

Apabila mendaftarkan sesebuah syarikat Suruhanjaya Syarikat Malaysia akan mengeluarkan Sijil Penubuhan.
Anda juga bolehlah berbincang dengan rakan-rakan yang telah pun memiliki syarikat Sendirian Berhad. Secara lazimnya mereka telah melalui kesemua proses-proses ini, dan oleh itu mereka mampu memberikan informasi mengenai isu-isu yang patut anda beri perhatian dan secara amnya memberikan nasihat-nasihat yang relevan.


Artikel ini disediakan oleh Spire Media & Research